UUM ONLINE: Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik Dalam
Pembangunan ICT Luar Bandar, International Telecommunication Union, Universiti
Utara Malaysia (ITU-UUM) diberi penghormatan menganjurkan Bengkel Perisian
Sumber Terbuka (OSS) Animasi 3D, dengan penyertaan peserta dari Thailand,
Kemboja, Vietnam, Bangladesh, Yaman dan Malaysia melalui tajaan dana daripada
kerajaan Jepun.
Bengkel anjuran bersama Sekretariat ICT ASEAN,
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta College of Arts and
Sciences, (UUM CAS) bertujuan membantu menambah pengetahuan penggunaan OSS
antara pelajar universiti tahun akhir bagi meningkatkan nilai tambah,
kebolehpasaran dan daya keusahawanan graduan ini.
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata,
bengkel ini merupakan satu platform yang sangat berguna bagi pertukaran
maklumat, idea dan pengalaman dalam mempromosikan penggunaan Perisian Sumber
Terbuka (OSS).“Saya yakin tempoh dua minggu menjalani bengkel ini pasti telah
memberikan pengalaman dan pengetahuan baru kepada peserta dalam menggunakan
perisian komputer yang menyediakan ilusi pergerakan menggunakan satu urutan imej
pegun.
“UUM berharap agar ilmu yang berguna ini akan turut dimanfaatkan
peserta dengan berkongsi dan menyebarluaskan pengetahuan ini di negara
masing-masing, memandangkan kos perisian ini amatlah tinggi, dan kita bertuah
kerana mendapat dana tajaan kerajaan Jepun,” ujarnya di Majlis Penutup Bengkel
Perisian Sumber Terbuka (OSS) Animasi 3D, baru-baru ini.
Pengarah ITU-UUM, Prof Madya Dr Wan Rozaini Sheik Osman berkata,
ini merupakan satu penghormatan besar kepada ITU-UUM kerana diberi peluang
menganjurkan bengkel OSS Animasi 3D di kampus UUM dan mempunyai peserta dari
rantau Asia Pasifik.
“Sekretariat ASEAN telah memilih cadangan projek ITU-UUM dalam
menjalankan latihan Animasi 3D OSS dengan pembiayaan dari kerajaan Jepun dan
ini menunjukkan kekuatan ITU-UUM dalam menganjurkan dan mengadakan latihan demi
pembangunan ICT di luar bandar dan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambah Dr Wan Rozaini, penggunaan perisian sumber terbuka (OSS)
merupakan sebahagian daripada kepentingan dunia IT di abad 21 ini dan
penggunaannya telah dapat membantu mengurangkan kos pembelian perisian sama ada
untuk kegunaan sendiri, pendidikan atau keperluan perniagaan.
“OSS seperti "Blender" yang mana digunakan dengan meluas
dalam industri animasi merupakan satu perisian yang dicari-cari dalam industri
ini.
“Kita melihat latihan animasi OSS ini telah dapat menarik minat
generasi muda dan generasi yang lebih tua untuk melibatkan diri kerana dengan
kemahiran ini membolehkan mereka merebut peluang perniagaan dalam industri
animasi yang sentiasa berkembang pesat,” jelas beliau.
Sementara itu, peserta bengkel Animasi 3D OSS dari Kemboja, Lonh
Thera, 29, berkata pelbagai pengetahuan baru berupaya meningkatkan kemahirannya
setelah mengikuti bengkel ini.
“Saya seronok belajar teknologi baru dan menyertai bengkel ini
memberi satu pengalaman berharga buat saya untuk dikongsikan kepada rakan
sekerja di Kementerian Telekomunikasi dan Pos, Kemboja,” katanya.
Manakala seorang lagi peserta dari Universiti Malaysia Perlis
(UniMAP), Mohd Hisyam Hamzah, 25, menjelaskan dirinya beruntung berpeluang
mengikuti bengkel yang disediakan secara percuma.
“UniMAP amat menyokong dan menggalakkan penyertaan para pelajarnya
untuk mengikuti bengkel ini kerana jika hendak dibeli untuk kegunaan peribadi,
harganya agak mahal.
“Saya harap program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan
datang bagi memupuk minat generasi muda dan supaya mereka lebih mengenali
perisian sumber terbuka ini,” katanya.
Sejak penubuhan sebagai pusat kecemerlangan Asia Pasifik dalam
bidang Pembangunan ICT di Luar Bandar pada 2007, ITU-UUM telah memainkan
peranan penting sebagai satu platform menarik pakar-pakar, pengamal- pengamal
industri menerusi forum, seminar, mesyuarat dan perbincangan intelektual demi
pembangunan ICT luar bandar.