Menu Bar

Monday, May 28, 2012

Sambutan Hari Perpaduan Dan Keputeraan DYMM Raja Perlis

Minggu Perpaduan 2012 Dan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Keputeraan Raja Perlis.
26 - 27 Mei 2012
Dewan 1 Malaysia, Simpang Empat, Perlis


Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail bertitah, kehancuran beberapa negara tertentu yang berpunca daripada rakyatnya yang tidak bersatu padu sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat negara ini mengenai pentingnya perpaduan.

Bertitah merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2012 peringkat negeri di Simpang Empat, Kangar, Perlis, baru-baru ini, baginda berharap perpaduan rakyat Malaysia yang unik terus dipelihara dengan sebaik mungkin.

"Malaysia dikenali di mata dunia kerana perpaduan rakyat yang berbilang kaum, kebudayaan dan agama dan keunikan itu menjadikan negara ini contoh dalam membina semangat perpaduan oleh negara lain," titah baginda.

Menurut baginda, perpaduan adalah tunjang utama setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Sehubungan itu, baginda berharap ibu bapa dapat menyemaikan semangat perpaduan dengan mengajar anak-anak mereka menghormati kepercayaan bangsa lain dan belajar menerima kepelbagaian kaum di negara ini.

Pelbagai acara diadakan sepanjang Minggu Perpaduan bertemakan "Kesederhanaan dan Keakraban Asas Perpaduan" anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama kerajaan negeri yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-69 keputeraan Raja Perlis.

Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik Dalam Pembangunan ICT Luar Bandar, International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) turut sama dijemput bersama-sama 30 gerai pameran lain bagi memeriahkan Minggu Perpaduan 2012.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.






Teruskan membaca!

Saturday, May 19, 2012

Seminar Transformasi Luar Bandar Melalui ICT Berjaya Dilaksanakan

Seminar Transformasi Luar Bandar Melalui ICT
15-17 Mei 2012
Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu
Anjuran ITU-UUM dengan kerjasama Pejabat SUK Terengganu


UUM ONLINE: Usaha kerajaan memperluaskan perkhidmatan jalur lebar ke pedalaman bertujuan mengurangkan jurang digital antara penduduk kawasan bandar dengan penduduk luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, ketika mewakili Menteri Besar berkata matlamat utama kerajaan merancang merapatkan jurang digital adalah untuk mendapat akses teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang saksama kepada masyarakat.

“Sejak tahun 2000, pelbagai program telah disediakan kepada masyarakat yang menitikberatkan pengetahuan asas tentang ICT, latihan keusahawanan, pembangunan Telecenter seperti Pusat Internet Desa (PID) merupakan inisiatif utama di bawah program ini”, katanya pada perasmian Seminar Transformasi Luar Bandar Melalui ICT: Rakyat Didahulukan di Kuala Terengganu, baru-baru ini. 
Seminar itu dianjur oleh Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik Dalam Pembangunan ICT Luar Bandar, International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu,  berlangsung selama tiga hari melibatkan penyertaan dari jabatan kerajaan dan swasta, badan berkanun dan ahli akademik. Menurut Ahmad Razif, sehingga penghujung tahun 2011, sebanyak 2490 buah Telecenter ditubuhkan untuk memacu pembangunan sosioekonomi.

“Kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif dalam mendekatkan ICT kepada masyarakat. Antaranya menubuhkan 46 buah pusat Bestari.com yang berfungsi dalam memberi latihan berkomputer, penyediaan internet secara percuma serta menjalankan pelbagai kursus ICT,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Abdul Razak Saleh, berkata jurang yang kian melebar antara bandar dan luar bandar dari aspek pendapatan, kemahiran, pencapaian pendidikan, celik huruf, celik komputer dan sebagainya jika tidak ditangani secara berkesan boleh membawa implikasi kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi.

“Untuk menangani isu ini, kerajaan telah menetapkan beberapa objektif yang perlu dicapai dalam konteks pembangunan luar bandar khususnya untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera, bebas dari kemiskinan, celik komputer, berdaya saing, berpengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran,” ujarnya. 

Katanya, beberapa strategi untuk mencapai objektif tersebut telah diterjemahkan kepada beberapa projek teras iaitu teras pertama, pembangunan infrastruktur asas; teras kedua, pembasmian kemiskinan tegar; teras ketiga, pembangunan modal insan; teras keempat, pemajuan kawasan; teras kelima, pembangunan teknologi maklumat serta teras keenam, pembangunan industri luar bandar.

Tambah beliau, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar masih terlalu luas walaupun usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan teknologi maklumat ini sejak tahun 1990 an.  “Jurang digital ini dapat dilihat berdasarkan jumlah pemilikan komputer lebih besar dimiliki oleh masyarakat bandar, iaitu 88.8 peratus berbanding dengan  luar bandar hanya 11.2 peratus. 

“Begitu juga jika dilihat dari segi penggunaan internet yang begitu sedikit ditembusi oleh masyarakat luar bandar iaitu  antara 6.7 peratus berbanding 93.3 peratus daripada masyarakat bandar,” katanya. 
Jelas Dr Abdul Razak, penganjuran seminar ini merupakan satu tanggungjawab sosial dalam menghimpunkan pemegang amanah, pembuat keputusan dan polisi, ahli akademik serta orang ramai, bahawa perhatian sewajarnya harus diberikan kepada perkhidmatan ICT di kawasan luar bandar agar jurang digital masyarakat  luar bandar tidak jauh ketinggalan dengan masyarakat di bandar.







Teruskan membaca!

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Search

Background

WELCOME

| | |SELAMAT DATANG| | |