Special Projects

Sunday, May 6, 2012

ITU Girls ICT Day 2012

26 April 2012
Sekolah Pengajian Pengkomputeran
UUM



UUM ONLINE: Seluruh dunia menyambut "Hari ICT Wanita Sedunia" hari ini dan di Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) dipilih sebagai tuan rumah meraikannya dengan mengadakan program ITU Girls ICT Day, anjuran Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik Dalam Pembangunan ICT Luar Bandar, International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM).

Program yang disambut pada setiap hari Khamis, minggu keempat di bulan April pada setiap tahun ini merupakan satu inisiatif yang disokong oleh ITU-UUM bagi menggalakkan penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) di kalangan remaja perempuan dan wanita dalam pendidikan dan kerjaya.

Program sehari ini melibatkan aktiviti seperti ceramah kesedaran ICT oleh Pengurus Program Kejuruteraan Penyiaran Asia Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD), James L. Sinclair;  ceramah Pembangunan Kemahiran Insaniah oleh Pengurus Pusat Internet Desa Balik Pulau, Pulau Pinang, Huraizah Abdul Rahman; ceramah Kerjaya Dalam ICT oleh Pensyarah UUM, Dr Azizah Ahmad; kuiz ICT dan pertandingan video kreatif.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Che Azemi Haron ketika merasmikan program ITU Girls ICT Day di Dewan Seminar Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM, berkata penggunaan ICT adalah sangat penting dalam dunia pekerjaan hari ini selain faktor ekonomi yang menjadi asas utama dalam pembangunan negara maju atau negara membangun.

Katanya di kebanyakan negara di dunia kini sedang mengalami situasi di mana berlakunya kekurangan kakitangan yang berkelayakan dalam bidang matematik, sains, kejuruteraan dan pengkomputeran bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat yang mendorong banyak syarikat besar bersaing mendapatkan pekerja wanita dalam sektor ini.

"Fenomena ini menyebabkan golongan wanita yang berkelayakan tinggi dalam bidang teknikal mempunyai peluang yang lebih besar dan mempunyai masa depan yang lebih cerah dalam pembangunan kerjaya mereka. Di peringkat global, dianggarkan bahawa terdapat kekurangan sebanyak dua juta orang bagi pekerja profesional dalam bidang ICT ini kerana kurangnya kesedaran di kalangan pelajar, guru dan ibu bapa tentang kerjaya dalam bidang ini," katanya.

Justeru beliau berharap penganjuran ITU Girls ICT Day ini dilihat sebagai satu sumbangan ITU-UUM kepada negara untuk mendidik masyarakat supaya celik ICT dan cakna terhadap kemajuan pesat ICT hari ini, di samping menjelaskan implikasi penyalahgunaan ICT.

Program ini dihadiri lebih 300 pelajar dari UUM dan sekolah menengah di sekitar Kubang Pasu.


RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget