Minggu Perpaduan 2012 Dan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Keputeraan Raja Perlis.
26 - 27 Mei 2012
Dewan 1 Malaysia, Simpang Empat, Perlis
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail bertitah, kehancuran beberapa negara tertentu yang berpunca daripada rakyatnya yang tidak bersatu padu sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat negara ini mengenai pentingnya perpaduan.
Bertitah merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2012 peringkat negeri di Simpang Empat, Kangar, Perlis, baru-baru ini, baginda berharap perpaduan rakyat Malaysia yang unik terus dipelihara dengan sebaik mungkin.
"Malaysia dikenali di mata dunia kerana perpaduan rakyat yang berbilang kaum, kebudayaan dan agama dan keunikan itu menjadikan negara ini contoh dalam membina semangat perpaduan oleh negara lain," titah baginda.
Menurut baginda, perpaduan adalah tunjang utama setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Sehubungan itu, baginda berharap ibu bapa dapat menyemaikan semangat perpaduan dengan mengajar anak-anak mereka menghormati kepercayaan bangsa lain dan belajar menerima kepelbagaian kaum di negara ini.
Pelbagai acara diadakan sepanjang Minggu Perpaduan bertemakan "Kesederhanaan dan Keakraban Asas Perpaduan" anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama kerajaan negeri yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-69 keputeraan Raja Perlis.
Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik Dalam Pembangunan ICT Luar Bandar, International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) turut sama dijemput bersama-sama 30 gerai pameran lain bagi memeriahkan Minggu Perpaduan 2012.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.