Special Projects

Saturday, January 10, 2015

Mantan Timbalan Pengarah ITU-UUM Mengetuai Misi Bantuan Banjir






UUM ONLINE: Kelantan, 5 Januari - Misi Bantuan Kemanusiaan UUM Untuk Mangsa Banjir bukan sahaja meliputi proses pembersihan pasca banjir, malah sukarelawan UUM turut membuat agihan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa yang terlibat di Kampung Joh, Machang, semalam.

Ketua pasukan sukarelawan, Prof. Madya Dr. Chek Derashid berkata, seramai 150 keluarga yang terjejas akibat banjir ini telah menerima agihan sumbangan barangan keperluan seperti beras, sardin, pakaian, susu dan lampin pakai buang untuk bayi.
"Kita telah mendapat kerjasama ketua kampung tersebut untuk mengenalpasti keluarga yang terjejas teruk bagi memudahkan agihan sumbangan dilakukan. 

"Agihan ini juga turut diberikan kepada keluarga Alumni UUM, Muhammad Rasul Sobri apabila hampir 90 peratus rumahnya musnah akibat bencana banjir ini," katanya.
Pengagihan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa banjir itu turut disertai Rektor UiTM Machang, Dato’ Dr. Helmi Abdul Rahman.

Dr. Chek berkata, sepanjang sesi agihan dijalankan, semua sukarelawan dapat menyelami keperitan hidup dan kesusahan mangsa menghadapi bencana banjir yang telah berlaku.  

Tambah beliau, sambil menghulurkan sumbangan, perasaan mereka bercampur baur dan menyentuh hati apabila melihat keadaan rumah yang terjejas teruh, malah ada yang kehilangan harta-benda sekelip mata. Pengalaman trauma mangsa juga turut dikongsikan bersama pasukan sukarelawan UUM.

Ujarnya lagi, misi ini diharapkan dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir, pada masa sama sukarelawan yang terlibat dapat merasai penderitaan hidup serta kepayahan mangsa dalam mengharungi bencana tersebut.


0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget