International Telecommunication
Union-Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) Asia Pacific Centre of Excellence for
Rural ICT Development telah menganjurkan program Kem ICT 3.0 pada 21-22 Ogos
2015 lalu di Myangkasa Akademi & Resort Langkawi. Program ini adalah
anjuran bersama dengan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Langkawi, Pusat Khidmat
ADUN Kuah dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Program
ini melibatkan seramai 50 orang pelajar Tingkatan 4 yang terdiri daripada lima
(5) buah sekolah iaitu SMK Kedawang, SMK Mahsuri, SMK Ayer Hangat, SMK Kelibang
dan SMK Tunku Putra.
Program yang berlangsung selama dua (2)
hari ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penggunaan
aplikasi perisian komputer kepada para pelajar yang terlibat. Selain itu, ia
juga dapat membuka landasan pembelajaran dan penggunaan ICT kepada para pelajar
agar mampu berfikir secara lebih kreatif, inovatif dan dapat mengaplikasikannya
semasa proses pembelajaran.
En Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit,
pensyarah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM telah berkongsi ilmu mengenai
teknologi terkini dalam ICT sementara Dr. Husniza binti Husni,
pensyarah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM mengendalikan sesi latihan
dalam mencipta interaktif e-Folio dengan cara mudah. Sesi Klik Dengan Bijak
telah dikendalikan oleh empat (4) orang pengurus PI1M dari Langkawi, Napoh,
Jerlun dan Gunung Hilir.
Perasmian penutup program ini telah
disempurnakan oleh YB. Nor Saidi Nanyan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah
Langkawi. Beliau berkata perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dengan
pelbagai penciptaan perisian telah membuka ruang maya yang cukup luas kepada
pelajar dalam mencari ilmu. Selain mendorong minat dan menggalakkan
pembelajaran secara akses kendiri, teknologi maklumat ini wajar dimanfaatkan
untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif.
"Saya berharap supaya program
sebegini dapat diteruskan lagi dalam melahirkan generasi muda yang
berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran
kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan di peringkat
global" katanya.
YB. Nor Saidi Nanyan mengucapkan terima
kasih kepada pihak ITU-UUM dan pihak PI1M Langkawi serta semua yang terlibat
dalam program ini kerana telah berjaya menganjurkan program yang memberi
manfaat dan pengalaman bermakna kepada para pelajar yang terpilih. Beliau juga
mengharapkan lebih banyak penglibatan UUM melalui program sebegini dalam
membantu meningkatkan pendidikan pelajar sekolah khususnya di Langkawi.
0 comments:
Post a Comment