Disertakan salinan daripada Utusan Malaysia 9 Ogos 2011.
ITU-UUM memperkasa ICT di luar bandar
KUBANG PASU 9 Ogos - Hasil kajian mengenai
pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kawasan luar bandar oleh
sekumpulan 15 penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dipilih untuk
dibentangkan pada satu bengkel antarabangsa, baru-baru ini.
Kumpulan itu diketuai, Prof. Dr. Zulkhairi Md.
Dahalin yang mewakili Malaysia membentangkan kajian tersebut di Bengkel
Antarabangsa Mengenai Pembangunan Luar Bandar di Krabi dan Bangkok, Thailand.
Bengkel tersebut adalah anjuran Asian Development
Bank (ADB) dan International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama
Kementerian Teknologi Penerangan dan Komunikasi Thailand.
UUM dalam kenyataannya berkata, pembentangan
tersebut adalah mengenai projek pembangunan ICT luar bandar yang mengambil masa
dua tahun sejak 2009 yang dibiayai oleh ADB.
"Ia melibatkan sembilan buah negara di
seluruh Asia Pasifik, seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Korea,
Mongolia, Malaysia, Filipina dan Thailand," katanya di sini hari ini.
Bagi projek di Malaysia, kajian kes mengenai
perkara itu dijalankan dari Januari 2010 hingga Mei 2011 dan ADB melantik
Zulkhairi sebagai perunding tempatan dan sekali gus mewakili Malaysia dalam
sesi pembentangan tersebut.
"Pada sesi itu juga, salah seorang daripada
15 penyelidik yang terlibat dalam projek itu iaitu Dr. Mohd. Khairudin Kasiran
turut membentangkan kajiannya," katanya. Kenyataan UUM menambah, terdapat
pelbagai isu dan cadangan berkaitan status ICT di luar bandar bagi setiap
negara telah dibincangkan pada bengkel tersebut.
Katanya, antaranya ialah strategi, polisi dan
peraturan, faktor ekonomi dan sosial, pembangunan modal insan, pasaran dan
inisiatif akses ICT luar bandar serta rangkaian dan program kerajaan terhadap
pembangunan ICT luar bandar.
"Beberapa contoh kajian kes beberapa negara
terutamanya Malaysia, Korea, Thailand, Filipina dan India telah dijadikan model
untuk diadaptasi oleh negara-negara yang masih dalam proses meningkatkan ICT
mereka di luar bandar seperti Mongolia dan Kemboja," tambahnya.
Katanya, bengkel dan forum berkenaan adalah
platform perkongsian ilmu dan percambahan idea berkaitan pembangunan ICT di
luar bandar dari pelbagai perspektif yang secara tidak langsung mewujudkan
jaringan sosial antara negara-negara ASEAN dan Asia Pasifik.
Habis.