KUALA LUMPUR - NERA Infocom (M) Sdn.Bhd. (NERA) sebuah syarikat
pembangunan telekomunikasi, telah menjalin kerjasama dengan Universiti Utara
Malaysia (UUM) untuk menyediakan latihan kepakaran kepada petugas di 14 Pusat
Internet 1Malaysia (PI1M).
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata
menerusi kerjasama itu, NERA akan menyalurkan dana melebih RM500,000 sebagai
peruntukan kepada latihan pembangunan petugas PI1M untuk tempoh dua tahun.
Menurutnya, melalui kerjasama itu NERA akan menyalurkan dana
sementara UUM menerusi Pusat Kecemerlangan International Telecommunication
Union (ITU-UUM) akan memberikan latihan kepakaran kepada pengurus dan penolong
pengurus di pusat internet berkenaan.
Pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut
di sini hari ini, UUM diwakili oleh Prof Dr Mohamed Mustafa manakala NERA oleh
Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Fauzan Hashim.
Kerjasama ini adalah antara usaha NERA melahirkan lebih banyak usahawan digital di kawasan komuniti yang disasarkan.
Antara latihan yang akan diberikan dalam program tersebut ialah
pembangunan laman sesawang, laman media sosial serta kaedah-kaedah lain
berkaitan ICT daripada pensyarah UUM yang terlibat.
Pada tahun 2009, NERA telah diberi kepercayaan oleh MAXIS Berhad
untuk melaksanakan projek PI1M yang ketika itu dikenali sebagai Pusat Jalur
Lebar Komuniti di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC).
Menurut Ahmad Fauzan, pada permulaan projek PI1M pada tahun
2010, pihaknya hanya mengendalikan sembilan buah PI1M sahaja iaitu dua di Kedah
dan tujuh di Sarawak.
"Pada tahun ini pula, lebih daripada 30 PI1M yang
dikendalikan sedang dalam proses penyempurnaan operasi dan menjelang hujung tahun
ini, kita jangkakan ada 82 buah pusat Internet berkenaan di seluruh
Malaysia," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment