UUM
ONLINE: Kuala Lumpur, 11 September - Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi
Pusat Kecemerlangan International Telecommunication Union (ITU-UUM)
menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama NERA Infocom (M) Sdn. Bhd.
(NERA) bagi melaksanakan program latihan untuk memperkasakan pengurus dan
penolong pengurus Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kedah, Selangor dan
Putrajaya.
NERA
merupakan Penyelaras Projek bagi menyediakan infrastruktur dan program
pembangunan staf bagi PI1M di bawah pengurusan pihak Maxis Berhad sementara
ITU-UUM yang telah dikenali sebagai pusat kecemerlangan di Semenanjung Malaysia
berpengalaman dalam menyediakan latihan dan penubuhan pusat komuniti ICT di
Kedah dan Perlis serta banyak menjalankan program komuniti di peringkat kebangsaan
dan antarabangsa melalui geran-geran yang diperolehinya.
UUM
diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan
disaksikan oleh Bendahari UUM, Amron Man manakala memeterai bagi pihak NERA
ialah Pengarah Urusannya, Dato' Ahmad Fauzan Hashim dan disaksikan oleh Hairani
Hamid, Pengurus Unit Perniagaan NI-SP.
Dato'
Seri Naib Canselor berkata melalui pemeteraian MoA ini, UUM akan menyediakan
latihan kepakaran kepada staf PI1M manakala NERA akan menyalurkan dana kewangan
dalam melaksanakan program latihan berkenaan di empat belas (14) PI1M yang
terletak di Kedah, Selangor dan Putrajaya selama dua (2) tahun bermula pada
tahun 2015.
"Program
latihan yang dicadangkan akan memberi tumpuan kepada skop ICT berasaskan kepada
keperluan yang diberikan oleh NERA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM).
"PI1M
yang terlibat adalah Yan Kecil, Guar Cempedak, Langkawi, Pokok Sena, Jerlun,
Gunung Hilir, Napoh, Kodiang di Kedah, Linggi dan Semenyih di Selangor dan
Presint 9 Fasa 10, Presint 9 Fasa 3, Presint 16 dan Presint 18 di
Putrajaya," ujarnya.
Tambah
beliau lagi program kerjasama ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas
kepada masyarakat luar bandar untuk sama-sama menikmati teknologi maklumat
dengan perancangan program yang dibekalkan dan latihan dalam meningkatkan
kelestarian kepada pengurusan PI1M di samping mengeratkan lagi hubungan UUM
dengan pihak industri dan berharap lebih banyak lagi projek kerjasama dapat
diusahakan dan dijalankan bersama di masa hadapan.
Sementara
itu, Pengarah Urusan NERA, Dato' Ahmad Fauzan Hashim berkata pihaknya amat
berbesar hati atas kesudian UUM untuk bekerjasama dengan NERA dalam membantu
melatih kepakaran staf PI1M.
"Diharap
melalui kerjasama ini, kita dapat melahirkan PI1M yang berdaya saing dan mampan
melalui program latihan pembangunan yang merangkumi aspek keusahawanan melalui
ICT yang membawa kepada pembangunan sosio ekonomi kepada penduduk
setempat," katanya.
0 comments:
Post a Comment