Special Projects

Showing posts with label DST. Show all posts
Showing posts with label DST. Show all posts

Wednesday, June 2, 2010

BENGKEL DST 2010 MENZAHIRKAN SEMANGAT PERPADUAN 1 MALAYSIA





ITU-UUM ONLINE: Bengkel Penceritaan Digital (DST) 2010 siri ke empat (4) Zon Tengah yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menzahirkan semangat bangsa 1 Malaysia dengan kehadiran para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum di kalangan para pelajar dan guru di daerah Hulu Langat. Semua para peserta menunjukkan minat yang mendalam dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang bengkel, di mana mereka sama-sama berganding bahu dan berkongsi idea untuk menghasilkan karya DST yang terbaik.

Seramai 32 orang peserta telah mengikuti bengkel tersebut yang terdiri daripada SMK Cheras Perdana, SMK Convent Kajang, SMK Jalan Reko dan SMK Bandar Tun Hussein Onn 2. Bengkel kali ini juga turut dihadiri oleh wakil daripada Institut Pendidikan Guru, Kampus Bangi, Celcom Axiata Berhad dan juga Pegawai Pelajaran Daerah Lipis.





Sepertimana bengkel-bengkel yang terdahulu, para peserta diberi penekanan yang lebih untuk memahami elemen-elemen penceritaan digital secara asas dan dikuatkan lagi dengan tayangan contoh video DST yang pernah dihasilkan. Selain itu, para peserta turut mempelajari cara-cara penggunaan beberapa perisian untuk menghasilkan cerita-cerita digital. Di penghujung sesi bengkel, setiap peserta mempersembahkan cerita digital yang dihasilkan secara berkumpulan mengikut sekolah masing-masing. Cerita digital yang dihasilkan oleh para peserta untuk bengkel kali ini agak baik dan hampir memenuhi ciri-ciri penceritaan digital yang dikehendaki oleh pihak penganjur.
Pada bengkel kali ini, pihak Malaysian Animation Creative Content Centre (MAC3) yang merupakan satu unit di bawah MDeC melalui wakilnya Puan Shahrizan dan Puan Salimah turut berkunjung ke bengkel ini bagi melihat dengan lebih dekat bagaimana kumpulan fasilitator ITU-UUM mengendalikan bengkel tersebut. Ternyata mereka berpuas hati dengan pendekatan yang dilakukan oleh pasukan fasilitator tersebut. Wakil daripada TM juga turut serta bagi meninjau peluang kerjasama bagi mengendalikan bengkel ini di sekolah-sekolah angkat mereka di bawah projek “SchoolNet”.
Pegawai Pelajaran Daerah Lipis yang turut hadir di bengkel ini turut berminat untuk membawa projek ini ke daerah Lipis, Pahang dan ke perkampungan orang asli di sana melalui kerjasama PPD dan ADUN kawasan berkenaan.
Seperti biasa semua peserta diberikan sijil penghargaan di akhir kursus. Sijil-sijil ini diberikan oleh Prof Madya Dr. Chek Derashid, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti ITU-UUM.
Bengkel ini merupakan bengkel terakhir daripada siri jelajah Malaysia oleh pasukan fasilitator ITU-UUM bagi memberi pendedahan kepada orang awam mengenai konsep asas penceritaan digital yang ideal. Bengkel DST 2010 ini merupakan sebahagian program daripada projek induk iaitu Pertandingan Penceritaan Digital 2010. Pihak penganjur menyeru dan menyaran semua pihak sekolah seluruh Malayisa agar turut mengambil bahagian di dalam pertandingan ini. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk bengkel dan pertandingan tersebut. Di samping itu, ITU-UUM juga berharap agar program ini diwar-warkan kepada semua rakan-rakan dan ahli keluarga warga pendidik.
Sebarang maklumat lanjut berkenaan bengkel, sila hubungi sekretariat (Cik Aswa dan Puan Hidayah) di talian 04-92834774 / 4751 atau melayari laman sesawang http://itu.uum.edu.my.

Teruskan membaca!

Tuesday, May 18, 2010

Bengkel DST Meraikan Hari Guru



ITU-UUM ONLINE: Siri jelajah Malaysia oleh pasukan fasilitator Bengkel Penceritaan Digital (DST) 2010 diteruskan lagi dengan penganjuran bengkel berkenaan untuk Zon Selatan. Bengkel tersebut diadakan pada 15 – 16 Mei 2010 bertempat di Kolej Komuniti Pasir Gudang (KKPG), Pasir Gudang, Johor Darul Takzim.

Bengkel kali ini telah disertai oleh 32 orang peserta (9 guru dan 23 murid) dari sekolah-sekolah di sekitar daerah Pasir Gudang. Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah SMK Pasir Gudang 1, SM Pasir Gudang 2, SM Pasir Gudang 3, SMK Seri Kota Puteri, SMK Taman Desa Tebrau, SMK Bandar Seri Alam, SMK Bandar Seri Alam 2 dan SMK Taman Daya 2. Seperti mana bengkel siri 1 dan 2 para peserta didedahkan dengan teknik-teknik untuk menghasilkan cerita digital yang bermutu dengan mengolah cerita-cerita peribadi, pengalaman hidup dan sebagainya ke dalam bentuk cerita digital yang mempunyai unsur-unsur tauladan dan nasihat kepada masyarakat umum khususnya untuk generasi masa kini dan akan datang.




Tarikh bengkel pada kali ini bersamaan dengan tarikh sambutan hari guru. Sebagai tanda penghargaan kepada para guru, pasukan fasilitator Bengkel DST mengambil kesempatan untuk bersama-sama meraikan hari guru khusus kepada guru-guru yang menyertai bengkel ini. Satu acara sambutan ringkas diadakan pada hari kedua bengkel (16 Mei 2010), di mana dua biji kek khas telah ditempah untuk sambutan ini. Walaupun majlis ini diadakan secara ringkas, guru-guru yang hadir melahirkan rasa terharu dan terima kasih di atas majlis tersebut kerana ianya sesuatu yang tidak diduga oleh mereka.

Selepas tamat bengkel, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti ITU-UUM Prof Madya Dr Chek Derashid, merangkap pengarah projek menyampaikan sijil penyertaan dan cenderahati kepada semua peserta yang hadir.

Pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pihak KKPG kerana sudi bekerjasama dalam penganjuran program tersebut dan ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memberi manafaat kepada masyarakat setempat.

Bengkel Siri 4 – Zon Tengah akan di adakan di Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan, Malaysia, Bangi, Selangor pada 22-23 Mei 2010.

Teruskan membaca!

Tuesday, May 11, 2010

Bengkel DST ke Laut China Selatan





ITU-UUM ONLINE: Pada 7 - 8 Mei 2010 lalu, barisan fasilitator Bengkel Penceritaan Digital (DST) telah berkunjung ke Kuala Terengganu dalam rangka menganjurkan bengkel berkenaan bagi Zon Timur yang bertempat di Makmal Komputer, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Bengkel ini merupakan bengkel DST Siri 2 anjuran ITU-UUM dan MDeC (unit MAC3). Seperti mana Bengkel Siri 1 (di UUM Sintok) yang telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada para peserta Zon Utara, pihak penganjur juga terpaksa menolak beberapa permohonan daripada pihak sekolah yang ingin menghantar lebih penyertaan pelajar-pelajar dan guru-guru mereka untuk menyertai bengkel bagi Zon Timur.

Seramai 49 orang peserta (13 guru dan 36 murid) dari sekolah-sekolah di sekitar Kuala Terengganu telah menyertai bengkel tersebut. Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian adalah SM Sains Sultan Mahmud, SMK Kompleks Mengabang Telipot, SMKA Tok Jiring, SMK Sultan Sulaiman, SMK Manir, SK Bukit Tumbuh, SBP Integrasi Batu Rakit, SMK Sultan Mizan Zainal Abidin, SMK Bukit Tunggal, SMK Bukit Besar dan SMK Padang Midin. Sepanjang bengkel tersebut dijalankan, para peserta begitu asyik dan bersemangat untuk mempelajari bagaimana teknik-teknik penghasilan cerita digital yang bermutu dapat diolah lantas menghasilkan cerita-cerita peribadi, pengalaman hidup dan sebagainya ke dalam bentuk cerita digital yang mempunyai unsur-unsur tauladan dan nasihat kepada masyarakat umum khususnya untuk generasi masa kini dan akan datang.










Setiap sesi dalam bengkel ini diisi dengan pengajaran secara teori dan amali (praktikal) bagi memastikan pemahaman para peserta terhadap konsep asas dan aspek teknikal dalam penceritaan digital dapat dikuasai dengan baik. Pada sesi pagi hari pertama para peserta mempelajari apakah elemen-elemen utama yang perlu ada dalam sesebuah cerita digital dan bagaimana untuk menghasilkan skrip yang baik. Satu tayangan penceritaan digital (video) yang pernah dihasilkan sebelum ini telah dipersembahkan kepada para peserta bengkel untuk dijadikan panduan. Di sebelah petangnya, mereka diajar mengenai penggunaan perisian dan teknik. Manakala pada hari kedua mereka dikehendaki menyediakan satu projek penceritaan digital bertemakan sekolah masing-masing dan membentangkan projek berkenaan kepada fasilitator dan semua peserta lain.

Di akhir program para peserta diberikan sijil penyertaan dan cenderahati yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Chek Derashid, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti ITU-UUM merangkap pengarah projek.

Bagi meneruskan siri jelajah Bengkel DST untuk Zon Selatan, pihak penganjur telah memilih Kolej Komuniti Pasir Gudang (KKPG), Johor sebagai destinasi bengkel siri ke 3 yang akan diadakan pada 15 – 16 Mei 2010 (Sabtu dan Ahad) yang akan datang.

Bengkel tersebut adalah merupakan program kerjasama antara ITU-UUM, MdeC dan KKPG dalam usaha memperbanyakkan lagi program-program berbentuk komuniti yang memberi manafaat kepada semua pihak, disamping menunaikan salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.

Teruskan membaca!

Monday, May 10, 2010

Teruja Mempelajari Penerbitan Cerita Digital




BENGKEL PENCERITAAN DIGITAL ZON UTARA
ITU-UUM ONLINE:

ITU-UUM dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) melalui Malaysian Animation Creative Content Centre (MaC3) menganjurkan Pertandingan Penceritaan Digital sebagai inisiatif untuk mencungkil bakat-bakat di kalangan para pelajar dan guru untuk menghasilkan penceritaan digital yang berkualiti dan mempunyai mesej yang berguna kepada masyarakat umum. Sebagai sebahagian daripada program pertandingan berkenaan, empat siri bengkel latihan akan diadakan di seluruh negara yang dilaksanakan mengikut zon iaitu zon utara, timur, selatan dan tengah.

Buat permulaan satu bengkel penceritaan digital bagi zon utara telah diadakan pada 23 hingga 24 April 2010 bertempat di Makmal Bestari, Bangunan Sains Kognitif dan Pendidikan. Seramai 42 orang peserta (12 guru dan 30 murid) dari beberapa sekolah di sekitar Daerah Kubang Pasu mengikuti bengkel ini. Sekolah-sekolah berkenaan ialah SMK Bandar Bukit Kayu Hitam, SMK Changlun, SMK Hosba, SMK Paya Kemunting, SMK Seri Mahawangsa, SMK Jitra, SMK Pulau Nyior, SMK Tanjung Pauh, SMK Bandar Baru Darul Aman dan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman. Sambutan yang diterima amatlah memberansangkan sehingga pihak penganjur terpaksa menolak beberapa permohonan daripada beberapa sekolah lain kerana bilangan tempat yang disediakan adalah terhad.





Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Harryizman Harun, pensyarah bidang multimedia dari UUM CAS sebagai ketua fasilitator. Beliau turut dibantu oleh beberapa orang fasilitator lain iaitu Encik Salman Sha’ri, Encik Mazri Yaakob, Encik Khairul Munawwar, Puan Norhidayah Kaharudin dan Cik Nor Aswadiyana Ibrahim.

Para peserta didedahkan dengan elemen-elemen yang perlu ada dalam menghasilkan cerita digital dan teknik-teknik penghasilannya melalui penggunaan perisian komputer yang bersesuaian. Beberapa contoh cerita digital yang berkualiti telah dipertontonkan kepada para peserta bagi member gambaran sebenar apakah yang diberi penekanan di dalam menghasilkan cerita-cerita yang menarik dan berkesan.


Para peserta ternyata begitu teruja. Mereka juga ditugaskan untuk menyiapkan satu cerita digital bertemakan sekolah masing-masing dan berkongsi dengan rakan-rakan lain diakhir program. Mereka dibahagikan mengikut sekolah dengan diketuai oleh seorang guru dari sekolah yang sama. Ternyata kesemua peserta begitu bersemangat menyiapkan tugasan mereka sehingga sanggup melanjutkan masa kursus sehingga jam 6 petang.

Di akhir program para peserta diberikan sijil penghargaan kehadiran yang disampaikan oleh Prof Madya Dr. Chek Derashid, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti, ITU-UUM.

Teruskan membaca!

Wednesday, April 7, 2010

Pertandingan Penceritaan Digital UUM - MDeC



Terbuka hanya kepada:
1. Cikgu-cikgu sekolah menengah dan rendah
2. Pelajar-pelajar sekolah menengah

Latihan Penceritaan Digital peringkat Utara akan diadakan di UUM pada 23 dan 24 April 2010.

Sesiapa yang berminat sila hubungi 04 928 4774. Khairul


Keterangan lanjut klik sini:

http://itu.uum.edu.my/index.php?option=com_content&task=view&id=122&Itemid=92


Laporan Bengkel Zon Utara UUM
Laporan Bengkel Zon Timur UMT|
Laporan Bengkel Zon Selatan KKPG|
Laporan Bengkel Zon Tengah UKM|


Teruskan membaca!

Monday, December 14, 2009

Bengkel ICT di UUM


11 Disember 2009. Dari Jam 8.00 pg - 6.00 ptg.

Bengkel ICT telah dijalankan di Makmal Bestari Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan, UUM. Bengkel ini telah menarik penyertaan seramai 36 orang daripada pelbagai peringkat dan latarbelakang. Antaranya, penduduk luar bandar sekitar UUM yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM, usahawan-usahawan, AJK Masjid dan pesara, pelajar serta kakitangan UUM dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Modul yang diajar adalah seperti berikut:
----------------------------------------------------------

0800 – 0830 Majlis Perasmian / Taklimat Program
0830 – 1000 Modul 1 :Membina Blog
1000 – 1030 Modul 2 : Merekacipta / Inkscape
1030 – 1045 Minum Pagi
1045 – 1130 Sambungan Modul 2 : Merekacipta / Inkscape
1130 – 1230 Modul 3 : Menyunting Gambar / Photoscape
1230 – 0100 Latihan Dan Pertandingan (Blog dan Poster)
0100 – 0230 Rehat/ Sembahyang Jumaat
0230 – 0300 Modul 4 : Merekod Audio / Audacity
0300 – 0430 Modul 5 : Penceritaan Digital (DST) / Photostory
0430 – 0530 Latihan Dan Pertandingan DST
0530 – 0600 Minum Petang / Bersurai
----------------------------------------------------------
Mereka dilihat amat berminat dengan bengkel ini dengan memberi penumpuan kepada pembelajaran yang disampaikan oleh En Faidhan dan Cik Rosminzana di mana mereka didatangkan khas daripada MSC Malaysia.

Selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh PM Dato' Seri Najib Tun Razak, pelbagai kaum dan ras dapat dilihat semasa menghadiri bengkel ICT ini.

Terima kasih kepada pihak MSC Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Warisan Global kerana memberikan peluang untuk menganjurkan bengkel ICT ini di UUM.

Pemenang2 adalah seperti berikut:

Pertandingan Blog
1. Norman Talib
2. Muhd Asyraf Abd Rahman
3. Mohd Khairy Abd Ghani

Pertandingan DST
1. Fauziah Omar
2. Siti Zalikha Zhukhi
3. Mime Azrina Jaafar

Pertandingan Poster
1. Rafidah Jaafar
2. Khalid Robidi
3. Teoh Al Huay
Tahniah kepada pemenang2..!!


Teruskan membaca!

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget