Karnival Keusahawanan Sosial (KKS) PID 2010 di bawah anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan diraikan oleh 42 buah PID di seluruh pendalaman Malaysia merangkumi aktiviti-aktiviti seperti Bengkel e-Kedai, e-Karnival dan Ekspo Niaga yang dilangsungkan sepanjang 1 Jun sehingga 18 Julai 2010. Adalah menjadi matlamat Kementerian agar karnival ini akan lebih berkesan dalam memberi impak bagi merangsang pembangunan ekonomi dan sosial komuniti setempat selari dengan model pembangunan lestari yang telah diterapkan dalam pelbagai program latihan di PID.
Karnival Keusahawanan Sosial dimeriahkan lagi dengan Majlis Forum “TELECENTRE DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI & SOSIAL” pada 11 Julai 2010 di Kompleks Sukan Balik Pulau. Majlis ini dirasmikan oleh Y.B. Sr. Hj. Muhammad Farid Bin Hj. Saad, Penaung Pusat Internet Desa Balik Pulau dengan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong dengan dihadiri oleh ahli panel oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK); Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM); Universiti Utara Malaysia (UUM); Persatuan Usahawan ICT Pulau Pinang (ICT Penang); Koperasi Usahawan Muda Pulau Pinang Berhad (KUMUDA); Gabungan Pusat e-Komuniti Pulau Pinang (GPeK) dan Yayasan Kemajuan Sosial Malasia (YKSM) dan Prof. Dr. Wan Rozaini Sheik Osman, Pengarah ITU-UUM ASP Coe untuk ICT Desa, Jabatan Teknologi Maklumat, Universiti Utara Malaysia.
Forum turut dimeriahkan dengan kehadiran peserta-peserta dari Pusat-Pusat Internet Desa dan pengurus-pengurus telecentre peringkat Utara. Golongan sasaran penyertaan juga difokuskan kepada wakil-wakil agensi pendidikan, kerajaan, swasta dan badan-badan bukan berasaskan keuntungan.
Forum dimulakan dengan kupasan isu peranan Telecentre di mana ianya adalah selaku tempat awam di mana komuniti boleh mengakses internet, komputer dan lain-lain teknologi digital untuk membolehkan mereka mendapatkan maklumat, menghasilkan inovasi, mempelajari dan berkomunikasi di samping meningkatkan kemahiran Teknologi Maklumat mengikut peredaran dan kehendak semasa. “Di Pulau Pinang, terdapat lebih 140 buah telecenter wujud di mana ianya bernaung dengan pelbagai organisasi sama ada di bawah agensi kerajaan mahupun swasta” jelas En. Abdul Said Bin Hussain, Presiden Gabungan Pusat e-Komuniti Pulau Pinang.
“Setiap peranan Telecentre adalah berbeza dan unik mengikut masa dan kawasan walaupun tujuan pengfokusan utama ialah menumpukan penggunaan teknologi maklumat dalam kemudahan komuniti, ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial dalam usaha merapatkan jurang digital. Telecentre berkembang pesat di seluruh negara mahupun peringkat antarabangsa memandangkan kepentingannya dalam salah satu aktiviti pembangunan negara.” ulasan Prof. Dr. Wan Rozaini Sheik Osman, Pengarah UUM-ITU.
“Selari dengan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10 yang menekankan isu penggunaan insfranstruktur ICT dan juga isu pembangunan ekonomi dan usahawan. Pusat Internet Desa mengwujudkan rangkaian keluarga Pusat Internet Desa seperti Kelab Usahawan Sosial (KUS) bagi memenuhi keperluan usahawan dari segi latihan, pembangunan dan pendedahan kepentingan teknologi maklumat bagi usahawan di luar Bandar.” Jelas Puan Faudziah Binti Mohd. Amin, Penolong Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan.
“ICT juga telah menjadi penghubung yang berkesan antara usahawan dengan pihak kerajaan, akademi, swasta dan masyarakat di mana penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan. ICT juga memudahkan penyampaian dan perkongsian ilmu kepada dan antara masyarakat selain dari membolehkan orang ramai bertransaksi secara atas talian tanpa had masa dan tempat. Industri ICT juga dilihat memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi negara dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)” ulas Y.B. Sr. Hj. Muhammad Farid Bin Hj. Saad, Penaung Pusat Internet Desa Balik Pulau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong semasa ucapan perasmian beliau.
Berdasarkan statistik terbaru, penembusan jalur lebar isi rumah sehingga 9 Jun 2010 telah mencapai 37%, berbanding penembusan sebanyak 31.7% pada penghujung tahun 2009. Di samping itu penggunaan telefon selular di kalangan 100 isi rumah juga meningkat daripada 106.2% pada tahun 2009 kepada 108.1% pada suku pertama 2010. Selain itu, kadar pemilikan komputer bagi isi rumah juga telah mencapai 3.2 Juta pada awal tahun 2010. “Walaupun angka-angka tersebut kian meningkat, tidak dapat dinafikan bahawa masih wujud perbezaan dari segi pencapaian kepada kemudahan ICT yang agak ketara di negara ini di antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar” ulas En. Hussin Bin Ali, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia, Kawasan Wilayah Utara.
Kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memperkenalkan penggunaan ICT kepada masyarakat miskin dan luar bandar melalui kepelbagaian aktiviti dalam program telecentre di seluruh Malaysia dengan memberi penekanan kepada konsep e-komuniti. “Pelbagai program telah dilakukan berlandaskan ICT termasuk Telekerja bagi membantu masalah sosial komuniti yang sedia ada. Konsep telekerja ataupun lebih dikenali sebagai Bekerja dari Rumah merupakan salah satu inisiatif kerajaan memastikan golongan surirumahtangga dan ibu tunggal dapat mengimbangi tanggungjawab mereka sebagai ibu serta dapat juga mencari pendapatan sampingan dari rumah” kata Pn. Elia Mastura Binti Kamaruddin, Pengurus e-Perhubungan Awam, Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKSM).
“Dengan kewujudan Telecentre di harap membantu para usahawan di luar bandar untuk menggunakan teknologi maklumat terutamanya aplikasi Web 2.0 seperti seperti e-mail, facebook, blog niaga dan seumpamanya untuk memantapkan lagi alternatif strategi pemasaran. Kami juga bekerjasama dengan Pusat Internet Desa untuk bersama menjayakan usaha ini di samping menetengahkan usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa melalui aktiviti Minggu Usahawan Global 2010 (Global Entrepreneurship Week 2010) yang akan dilansungkan pada 8-21 November 2010” jelas En. Nasir Sobri, Pengarah 1oasis.net juga merangkap Setiausaha bagi Persatuan Usahawan ICT Pulau Pinang.
Encik Muzafar selaku pengguna PID Balik Pulau dari tahun 2006 menjelaskan, “Banyak perkembangan telah berlaku sepanjang penglibatan saya dengan PID, di antaranya projek keusahawanan sosial INFOBIZ iaitu pengiklanan media cetak tempatan dan projek penjenamaan PID STOP sebagai pusat maklumat untuk mempromosikan Balik Pulau. Semua idea projek-projek ini adalah inspirasi dari diskusi melalui beberapa sesi perjumpaan sosial yang sering diadakan melalui organisasi-organisasi rangkaian keluarga PID seperti Kelab Usahawan Sosial (KUS) dan Koperasi Usahawan Muda Pulau Pinang Berhad (KUMUDA).”
Direncanakan oleh Pusat Internet Desa Balik Pulau, host Karnival Keusahawanan Sosial (KKS) PID 2010 peringkat Utara.
0 comments:
Post a Comment