Special Projects

Thursday, June 27, 2013

ITU-UUM Mendekati Orang Asli Menerusi ICT





ITU-UUM TINGKAT TAHAP PENDIDIKAN ORANG ASLI MENERUSI ICT

Sintok, 9 Julai 2013 : International Telecommunication Union - Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) komited mendekati pelajar orang asli melalui program latihan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di empat buah sekolah di Johor, baru-baru ini.

Program yang dibiayai geran Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia ini bertujuan memberi pendedahan teknologi ICT dalam membantu perkembangan pendidikan pelajar orang asli selain memberi peluang kepada mereka agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi kreatif menggunakan ICT.

Sekolah yang terlibat termasuklah Sek. Keb. Labong; Sek. Keb. Tanah Abang; Sek. Keb. Sayong Pinang dan Sek. Keb. Kg Layau dengan penglibatan daripada 83 pelajar orang asli tahap dua.

Pengarah Projek, Muhammad Khairul Munawwar Ismail, 30, berkata, ITU-UUM telah menyediakan modul-modul kreatif yang telah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Awal kelas dimulakan dengan pengenalan komputer riba dan komputer tablet. Pelajar juga turut diberi pendedahan penggunaan aplikasi Microsoft Word 2010 melalui latihan yang diadakan dalam kumpulan kecil.

“Selain itu juga, kita turut memperkenalkan aplikasi baharu iaitu BacaMax yang digunakan atas platform android. Aplikasi ini dibangunkan oleh School of Multimedia, Technology Media and Communication (SMMTC), UUM, ujarnya.

Tambah beliau, pelajar orang asli amat tertarik dengan teknologi Augmented Reality yang dipraktikkan oleh mereka kerana mereka berpeluang merakam video mereka sendiri semasa menggunakan teknologi tersebut.

Selain itu, mereka juga turut dilatih menggunakan aplikasi Microsoft PowerPoint asas dengan memasukkan elemen multimedia ke dalam persembahan.

Program kali keempat yang dijalankan oleh ITU-UUM ini telah mendapat kerjasama yang erat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan dan Multimedia Development Corporation (MDeC).

SKMM turut mengambil bahagian dalam program ini melalui sesi ceramah “Klik Dengan Bijak” (KDB) yang kini bergerak aktif seluruh negara dalam menyampaikan kesedaran mengenai kebaikan dan keburukan menggunakan kemudahan internet.


Sementara itu, wakil JAKOA, Hazlina Abd Gepar berkata, pihaknya menunjukkan minat yang mendalam dalam program seperti ini dan mencadangkan agar diadakan dengan lebih kerap terutama bagi sekolah-sekolah lain sekitar Johor yang memerlukan penembusan ICT seterusnya menggalakkan lagi minat pelajar orang asli ini dengan memaksimakan penggunaan aplikasi-aplikasi ICT sedia ada.


Habis.

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget