UUM
ONLINE: Enam universiti luar bandar bekerjasama dalam
Diskusi Meja Bulat Jaringan Kampus Luar Bandar: Mengenalpasti Isu Dan Cabaran
Kampus Luar Bandar Dalam Merealisasikan Program Transformasi Pembangunan
anjuran International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia
(ITU-UUM) bertempat di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM baru-baru ini.
Antara
universiti yang terlibat dalam rundingan tersebut adalah Universiti Tun Hussein
Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia
Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi
Mara (UiTM).
Diskusi
bertujuan membincangkan isu semasa berkenaan masalah dan halangan dalam
pengurusan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang beroperasi di kawasan
luar bandar.
Menurut
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata jaringan antara
universiti luar bandar ini merupakan satu usaha penting dalam meningkatkan
keberkesanan penyelidikan antara IPTA di Malaysia.
Tambahnya
lagi usaha ini mampu menyatukan suara masyarakat kampus luar bandar agar
mendapat lebih perhatian daripada pihak Kementerian Pendidikan.
“Masalah
yang dihadapi oleh kampus luar bandar adalah jauh berbeza dari kampus bandar
dari segi pentadbiran, isu kewangan, pembangunan dan sosial”
“Sekurang-kurangnya
kita dapat mendengar keluhan mereka dan mencari penyelesaian dengan kerjasama
pihak kementerian,” katanya.
Beliau
berharap kerjasama yang erat ini dapat menzahirkan hasrat kerajaan untuk
memajukan sektor luar bandar negara Malaysia.
“Gabungan
kepakaran antara keenam-enam universiti ini diharap mampu menghasilkan sesuatu
yang berguna dan dijadikan permulaan kepada kerjasama erat antara
universiti-universiti luar bandar,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis ialah Timbalan Naib
Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul
Karim dan Pengarah ITU-UUM, Prof. Madya Dr. Wan Rozaini Sheik Osman.