15-20 Ogos 2013
Taipei, Taiwan
ITU-UUM
Online: Pihak ITU-UUM telah dijemput untuk menghadiri
APEC Digital Opportunity Center (ADOC) Workshop 2013 di Taipei
baru-baru ini. 10 buah negara Asia-Pasific Economic Cooperation (APEC) yang lain
juga turut hadir di mana mereka juga terlibat dalam projek ADOC ini. Antaranya
adalah Chile, Indonesia, Mexico, Peru, Papua New Guinea, Rusia, Thailand,
Filipina dan Vietnam. Wakil negara masing-masing diberi kesempatan untuk
membentangkan kemajuan pelaksanaan projek ADOC di negara mereka.
Selain ITU-UUM
dijemput sebagai pembentang dalam projek ini di Malaysia, wakil daripada
beberapa kementerian juga turut hadir iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah (KKLW), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),
dan wakil media. Dalam pembentangan mengenai kemajuan projek ADOC di Malaysia,
Dr. Azizi Ab. Aziz, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti)
ITU-UUM telah dijemput oleh pihak kerajaan Taiwan untuk menerangkan secara
terperinci kepada peserta. Antara intipati pembentangan beliau adalah kunci
kejayaan pelaksanaan program ICT dan komuniti di Malaysia, trend terkini ICT di
Malaysia, pembentukan konsep kluster keusahawanan dan
juga dapatan penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh pihak
ITU-UUM.
Selain itu
beliau juga tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan Universiti Utara
Malaysia sebagai hub pusat pengajian tinggi mengenai pengurusan terulung di
Malaysia dan Kedah sebagai destinasi pelancongan kepada perwakilan negara lain.
Beliau juga turut mengambil peluang ini untuk menjalinkan jaringan kerjasama
bagi projek yang berpotensi untuk dijalankan di UUM dengan wakil daripada
Universiti Waseda, Jepun dan juga National Chiao Tung Universiti, Taiwan.
Bengkel
selama lima hari ini tidak hanya tertumpu kepada sesi pembentangan dan
percambahan idea semata-mata, malah delegasi juga dibawa melawat pelbagai
kluster ICT dan keusahawan yang ditubuhkan kerajaan Taiwan. Antara destinasi
yang dituju adalah Sui-Li (Perusahaan Muzium Batu Arang), Nantou Jiji
(Perusahaan Cendawan), Guansi Xinpu (Lukisan Tembikar), dan Tamsui (Perusahaan
Kopi Moden dan Bebola Ikan). Delegasi juga diberikan kesempatan ke Institute
for Information Industry (III) untuk mempelajari teknologi nagivasi pelancong,
teknik ringkas pemasaran digital, rekaan dan pelabelan produk bagi program
“niche marketing”.
Setiap
perusahaan ini mempunyai penerapan elemen ICT mengikut lokasi masing-masing.
Kebanyakan tempat menggunakan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun dalam
pasaran Android dan iOS yang akan memudahkan pelanggan atau pelawat menuju ke
destinasi perusahaan tanpa bantuan pemandu pelancong. Ini dapat dipelajari oleh
delegasi Malaysia untuk dilaksanakan dalam projek ADOC di sini. Turut hadir
menyertai delegasi ini ialah Muhammad Khairul Munawwar Ismail, Pegawai Tadbir
(Hal Ehwal Komuniti) ITU-UUM.