Special Projects

Thursday, January 23, 2014

Terima Kasih Prof Wan..


31 Disember 2013 adalah tarikh akhir Profesor Madya Dr. Wan Rozaini menjalankan tugas sebagai Pengarah ITU-UUM. Beliau digantikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Syazwan Abdullah. Timbalan Pengarah pula ialah Dr Azizi Ab. Aziz.

Sedikit coretan sepanjang saya bekerja dengan Prof Wan selama 5 tahun di bawah seliaan beliau:
--------------------------

Assalamualaikum Prof, Pengarah, Tim. Pengarah dan kawan-kawan,

Saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke majlis penyerahan tugas Pengarah pada 15 Januari ini. Ini kerana saya dalam tugasan membawa pelajar-pelajar DPP PETRONAS ke Program Bakti Siswa di Kelantan dan Terengganu. Oleh yang demikian saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan setinggi penghargaan kepada Prof Wan sepanjang saya bekerja di bawah seliaan beliau.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas peluang yang Prof berikan sepanjang bekerja di ITU. Awal-awal temuduga saya sedari yang saya bukanlah calon favourite untuk jawatan ini, hanya nasib menyebelahi saya waktu itu. Peluang ini barangkali sukar untuk saya perolehi di tempat lain. Boleh dikatakan Prof banyak memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan Program Komuniti yang baru diwujudkan ini sejak tahun 2009.

Awal pembabitan, terus terang saya katakan bahawa program komuniti ini seolah tiada hala tuju dan matlamat. Apa yang perlu dilakukan oleh saya hanyalah untuk menyelia dan menyelaras program ICT kepada penduduk Kg. Tradisi dengan menggunakan kemudahan komputer yang hampir outdated. Walau bagaimanapun saya serta pasukan komuniti yang lain cuba sedaya upaya untuk membuat sebaik mungkin untuk mencapai misi negara dalam melestarikan komuniti yang celik ICT.

Daripada tahun pertama (2009) yang hanya membuat kerjasama dengan PID tanpa sebarang keuntungan kewangan, program komuniti seterusnya berjaya membida projek pertamanya pada 2010 daripada MDeC iaitu Bengkel Penceritaan Digital diketuai oleh Profesor Madya Dr. Chek. Melalui projek ini telah membuka kerjasama ITU-UUM dengan pihak industri di peringkat nasional. Pada tahun yang sama juga program komuniti antara yang berjaya membida projek Karnival Usahawan dan ICT daripada MDeC. Melalui projek ini juga telah membawa program komuniti mengenali lebih dekat dengan PI1M dan MID.

Pada 2009 juga Prof telah memberikan peluang kepada saya untuk membida projek di peringkat antarabangsa bersama Dr. Syazwan di Jogjakarta dan Vientiane di mana program-program komuniti telah dibawa di peringkat ASEAN. Ini adalah sebuah pengalaman yang sukar saya lupakan. Dengan peluang untuk duduk bersama diplomat asing dan peluang untuk makan malam di rumah Duta Besar. Terus terang peluang ini sukar diperolehi tetapi Prof telah merealisasikannya untuk saya.

2011 adalah tahun yang agak sukar untuk program komunti di mana unit ini hampir tidak membawa sebarang projek untuk organisasi. Masih teringat riak wajah Prof semasa pembentangan dalam mesyuarat pengurusan, saya seolah-olah tidak dapat berkata apa-apa untuk menyatakan projek yang dibawa untuk program komuniti. Saya faham, walaupun Prof diam saya masih dapat merasakan kekecewaan Prof terhadap performance saya pada masa itu.

Saya cuba bangkit untuk melaksanakan pelbagai program pada tahun 2012. Salah satu yang kelihatan amat berjaya adalah Seminar Transformasi Luar Bandar Melalui ICT. Selain mencapai KPI universiti, program komuniti mula mendapat tempat di kalangan industri dan IPT. Selain prosiding yang berjaya dihasilkan, ia telah membawa branding program komuniti di pelbagai institusi awam dan swasta. Pada 2012 juga, Prof telah memberikan peluang kepada saya untuk membuat attachment di UNIMAS seterusnya membuka peluang kerjasama baharu bersama  IPTA kepulauan Borneo tersebut.

2013 adalah tahun yang dapat melihat usaha-usaha sebelumnya sedang membuahkan hasil untuk program komuniti. Pelbagai kerjasama baru telah dibina antaranya bersama ADOC Taiwan yang saya lihat kerjasama antarabangsa yang sukar dipercayai akan berlaku untuk program ini. Ia tidak mustahil apabila saya di ITU-UUM. Selain itu, rakan strategik dalam program komuniti juga telah dibentuk dengan lebih erat bersama UNIMAS dan Maxis. Malah bukan itu sahaja, Prof juga telah membawa saya mengenali lebih banyak agensi-agensi besar seperti EPU, SKMM, KKMM, SKUM, KKLW, SUK dan pelbagai lagi bersama Dr. Azizi.

Ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja saya dalam program komuniti dilaksanakan malah hubungan peribadi saya bersama mereka juga terjalin erat. Saya cuba membawa program ini berimejkan korporat, seperti saya menjaga periuk nasi saya sendiri, dan melaksanakannya sebaik mungkin seperti yang dikehendaki oleh UUM dan ITU. Ini yang saya belajar daripada pengalaman terdahulu dan juga Prof. Sehingga kini, boleh dikatakan program komuniti dijangkakan akan terus melonjak naik dari segi pelaksanaan program, penyelidikan, penjanaan kewangan, pertambahan aset dan kelestarian masa depan.

2013 juga telah ditakdirkan tahun perpisahan Prof bersama ITU-UUM. Sesungguhnya pengalaman bersama Prof sangat berharga. Saya berharap hubungan ini tidak setakat ini sahaja tetapi berterusan dalam pekerjaan mahupun peribadi. Saya doakan Prof sentiasa sihat walafiat dan semoga kita berjumpa lagi di masa akan datang. Mohon maaf jika ada salah dan silap saya kepada Prof selama ini.

Sekian serba sedikit coretan yang sempat saya nukilkan.

Terima kasih sekali lagi Prof Wan. Jasamu sangat dikenang..!


Khairul

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget