Special Projects

Tuesday, April 8, 2014

Bengkel ICT ITU-UUM Bantu Promosi Perniagaan

8 APRIL 2014 / 8 JAMADILAKHIR 1435H

=================================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Gambar oleh: International Telecommunication Union-Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM)


BENGKEL ICT ITU-UUM BANTU PROMOSI PERNIAGAAN

UUM ONLINE :  Kepesatan jualan atas talian atau secara online telah mendorong International Telecommunication Union-Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) Asia Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Development untuk bekerjasama dengan APEC Digital Opportunity Centre (ADOC) dari Taiwan dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Projek ADOC menganjurkan Bengkel Digital Marketing Using Social Media For SMEs Entrepeneurs, baru-baru ini.
Bengkel ini diadakan di Makmal Komputer 3, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), College Of Business (COB) UUM yang melibatkan usahawan dari kluster pemprosesan makanan dan pelancongan di bawah Projek ADOC.
Pengarah ITU-UUM, Prof Madya Dr Mohd Syazwan Abdullah berkata, bengkel itu adalah bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran menggunakan media sosial sebagai medium atau platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan.
Menurutnya, pendedahan ini berikutan ramai usahawan dan peniaga yang menjadikan media sosial sebagai ‘trend’ terkini untuk mempromosikan perniagaan masing-masing dengan menggunakan teknologi digital ICT.
“Selain itu, bengkel ini adalah sebagai usaha untuk menggalakkan usahawan kluster khususnya untuk bergiat aktif dalam penggunaan media sosial menerusi aktiviti yang dijalankan di bawah Projek ADOC.
“Saya berharap melalui bengkel ini juga, semua peserta akan terus bersemangat dan positif terhadap penggunaan ICT dalam melestarikan industri pemprosesan makanan dan pelancongan di negeri ini,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, beliau berharap model dipakai dalam Projek ADOC itu akan diaplikasikan dalam program pembangunan sumber manusia oleh agensi-agensi yang berkaitan.
Dr Mohd Syazwan berkata, modul itu juga telah menarik minat pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bekerjasama dengan ITU-UUM dalam melahirkan sumber manusia yang inovatif dan kreatif bagi meningkatkan tahap sosial ekonomi mereka melalui penggunaan ICT pada masa hadapan.
Bengkel yang terbahagi kepada tiga sesi itu dimulakan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Jasni Ahmad dengan modul bertajuk Visual Interface and IxD for Social Media.
Kemudian, sesi kedua diteruskan oleh Wan Husain Wan Ishak, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengkomputeran dengan modul Market Your Business Using Facebook dan sesi terakhir adalah modul dari Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Dr Syamsul Bahrin Zaibon yang  bertajuk How To Make An Interactive Website.
Sementara itu, Sekretariat ADOC Taipei, Dr Elizabeth Cha menyatakan bahawa bengkel itu bertujuan membantu usahawan yang terlibat dalam Projek ADOC untuk membangunkan perniagaan mereka secara eletronik dengan menggunakan media sosial khususnya.
Beliau berharap semua peserta terlibat dapat memanfaatkan peluang yang diberikan untuk meningkatkan perniagaan mereka.
Pengusaha Syarikat RM Cosmetic Sdn Bhd, Haji Abd Rahim Sharif berkata, bengkel yang disertainya itu banyak memberi pendedahan baru kepadanya dalam usaha untuk menambahbaik perniagaan yang dijalankan.
“Saya sokong bengkel ini diteruskan lagi dari semasa ke semasa bagi menambah kemahiran dalam mempromosikan perniagaan menggunakan melalui media sosial,” katanya.
Peserta, Nor Hizan Abd Ghani yang juga Pengusaha Homestay MADA Kampung Pisang berpendapat, konsep kluster yang digunakan dalam Projek ADOC itu telah membuka minda beliau ke tahap yang lebih luas di mana salah satu dari peluang yang mereka perolehi bukan sahaja dengan menjalankan perniagaan industri semata-mata, malah berkongsi ilmu yang diperolehi bersama-sama ahli kluster yang lain.

===============================
DARIPADA:
SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3047/3050/3042
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget