Special Projects

Thursday, June 5, 2014

SEMINAR JALUR LEBAR UNTUK PEMBANGUNAN MAMPAN ITU-UUM RAPAT JURANG DIGITAL


4 JUN 2014 / 6 SYAABAN 1435H
===========================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
            (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh : Nordiana Shafiee
Gambar Oleh : Hairul Nizam Zahari

SEMINAR JALUR LEBAR UNTUK PEMBANGUNAN MAMPAN ITU-UUM RAPAT JURANG DIGITAL


UUM ONLINE: Alor Setar, 3 Jun - Sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia, International Telecommunication Union-Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) Asia Pasific Centre of Excellence For Rural ICT Development telah menganjurkan Seminar Jalur Lebar Untuk Pembangunan Mampan di Auditorium RTM.

Seminar anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kerajaan Negeri Kedah itu bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada pelajar dan golongan sasar bahawa jalur lebar dan ICT adalah pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pengarah ITU-UUM, Prof Madya Dr Mohd Syazwan Abdullah berkata, penganjuran seminar itu adalah salah satu program tahunan ITU-UUM yang melibatkan pelajar dan kakitangan awam serta swasta yang berkait rapat dengan penggunaan jalur lebar.

"Hari Telekomunikasi Sedunia disambut setiap tahun pada bulan Mei sejak 1969 dan tujuan World Telecommunication and Information Society Day (WTISD) adalah untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan teknologi maklumat dan perhubungan (ICT) boleh membawa kepada masyarakat dan ekonomi yang maju serta merapatkan jurang digital.

"Sehubungan itu, UUM menerusi ITU-UUM berperanan membantu negara dalam memacu pembangunan luar bandar melalui inisiatif ICT yang juga mengendalikan latihan eksekutif, menganjurkan program pembangunan komuniti, penyelidikan dan membangunkan modal insan," katanya.

Ujarnya, seminar itu diharap dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada peserta bahawa jalur lebar dan ICT merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dan landasan itu perlu dipertingkatkan.

Tambahnya lagi, seminar itu juga diharap dapat mempertingkatkan kefahaman bahawa tanggungjawab dan peranan rakyat perlu seiring dengan agensi pelaksana supaya cabaran ini mampu bergerak serentak dengan langkah kerajaan.

Dalam seminar itu, peserta turut mendengar ceramah yang disampaikan Ketua Bahagian Pengurusan Jalur Lebar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Puan Nor Akmar Shah Minan menerusi tajuk ‘Jalur Lebar untuk Pembangunan Mampan’ dan ‘Peranan Pusat Internet Desa Dalam Masyarakat’ oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kemudahan (Komunikasi), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Puan Faudziah Mohd Amin.

Majlis penutup seminar itu telah disempurnakan Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Yang Berhormat Puan Nor Sabrina Mohd Noor.

Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa melalui seminar itu, kerajaan negeri Kedah dapat melihat elemen-elemen penting dalam melaksanakan fasa-fasa pembangunan ICT untuk rakyat, selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai celik ICT, seterusnya dapat menjana pendapatan menerusi ICT.

"Sesungguhnya, seminar ini bertepatan dalam memberi pendedahan dan kesedaran mengenai kepentingan jalur lebar dalam pembangunan ekonomi, masyarakat dan negara," katanya.


===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget