Special Projects

Thursday, September 17, 2015

Akhbar: UUM, NERA Kerjasama Latihan Staf PI1M



KUALA LUMPUR - NERA Infocom (M) Sdn.Bhd. (NERA) sebuah syarikat pembangunan telekomunikasi, telah menjalin kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyediakan latihan kepakaran kepada petugas di 14 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata menerusi kerjasama itu, NERA akan menyalurkan dana melebih RM500,000 sebagai peruntukan kepada latihan pembangunan petugas PI1M untuk tempoh dua tahun.

Menurutnya, melalui kerjasama itu NERA akan menyalurkan dana sementara UUM menerusi Pusat Kecemerlangan International Telecommunication Union (ITU-UUM) akan memberikan latihan kepakaran kepada pengurus dan penolong pengurus di pusat internet berkenaan.

Pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut di sini hari ini, UUM diwakili oleh Prof Dr Mohamed Mustafa manakala NERA oleh Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Fauzan Hashim.

Kerjasama ini adalah antara usaha NERA melahirkan lebih banyak usahawan digital di kawasan komuniti yang disasarkan.

Antara latihan yang akan diberikan dalam program tersebut ialah pembangunan laman sesawang, laman media sosial serta kaedah-kaedah lain berkaitan ICT daripada pensyarah UUM yang terlibat.

Pada tahun 2009, NERA telah diberi kepercayaan oleh MAXIS Berhad untuk melaksanakan projek PI1M yang ketika itu dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut Ahmad Fauzan, pada permulaan projek PI1M pada tahun 2010, pihaknya hanya mengendalikan sembilan buah PI1M sahaja iaitu dua di Kedah dan tujuh di Sarawak.


"Pada tahun ini pula, lebih daripada 30 PI1M yang dikendalikan sedang dalam proses penyempurnaan operasi dan menjelang hujung tahun ini, kita jangkakan ada 82 buah pusat Internet berkenaan di seluruh Malaysia," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget