ITU-UUM ONLINE: Siri jelajah Malaysia oleh pasukan fasilitator Bengkel Penceritaan Digital (DST) 2010 diteruskan lagi dengan penganjuran bengkel berkenaan untuk Zon Selatan. Bengkel tersebut diadakan pada 15 – 16 Mei 2010 bertempat di Kolej Komuniti Pasir Gudang (KKPG), Pasir Gudang, Johor Darul Takzim.
Bengkel kali ini telah disertai oleh 32 orang peserta (9 guru dan 23 murid) dari sekolah-sekolah di sekitar daerah Pasir Gudang. Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah SMK Pasir Gudang 1, SM Pasir Gudang 2, SM Pasir Gudang 3, SMK Seri Kota Puteri, SMK Taman Desa Tebrau, SMK Bandar Seri Alam, SMK Bandar Seri Alam 2 dan SMK Taman Daya 2. Seperti mana bengkel siri 1 dan 2 para peserta didedahkan dengan teknik-teknik untuk menghasilkan cerita digital yang bermutu dengan mengolah cerita-cerita peribadi, pengalaman hidup dan sebagainya ke dalam bentuk cerita digital yang mempunyai unsur-unsur tauladan dan nasihat kepada masyarakat umum khususnya untuk generasi masa kini dan akan datang.
Tarikh bengkel pada kali ini bersamaan dengan tarikh sambutan hari guru. Sebagai tanda penghargaan kepada para guru, pasukan fasilitator Bengkel DST mengambil kesempatan untuk bersama-sama meraikan hari guru khusus kepada guru-guru yang menyertai bengkel ini. Satu acara sambutan ringkas diadakan pada hari kedua bengkel (16 Mei 2010), di mana dua biji kek khas telah ditempah untuk sambutan ini. Walaupun majlis ini diadakan secara ringkas, guru-guru yang hadir melahirkan rasa terharu dan terima kasih di atas majlis tersebut kerana ianya sesuatu yang tidak diduga oleh mereka.
Selepas tamat bengkel, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti ITU-UUM Prof Madya Dr Chek Derashid, merangkap pengarah projek menyampaikan sijil penyertaan dan cenderahati kepada semua peserta yang hadir.
Pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pihak KKPG kerana sudi bekerjasama dalam penganjuran program tersebut dan ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memberi manafaat kepada masyarakat setempat.
Bengkel Siri 4 – Zon Tengah akan di adakan di Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan, Malaysia, Bangi, Selangor pada 22-23 Mei 2010.