ITU-UUM ONLINE: Pada 7 - 8 Mei 2010 lalu, barisan fasilitator Bengkel Penceritaan Digital (DST) telah berkunjung ke Kuala Terengganu dalam rangka menganjurkan bengkel berkenaan bagi Zon Timur yang bertempat di Makmal Komputer, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Bengkel ini merupakan bengkel DST Siri 2 anjuran ITU-UUM dan MDeC (unit MAC3). Seperti mana Bengkel Siri 1 (di UUM Sintok) yang telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada para peserta Zon Utara, pihak penganjur juga terpaksa menolak beberapa permohonan daripada pihak sekolah yang ingin menghantar lebih penyertaan pelajar-pelajar dan guru-guru mereka untuk menyertai bengkel bagi Zon Timur.
Seramai 49 orang peserta (13 guru dan 36 murid) dari sekolah-sekolah di sekitar Kuala Terengganu telah menyertai bengkel tersebut. Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian adalah SM Sains Sultan Mahmud, SMK Kompleks Mengabang Telipot, SMKA Tok Jiring, SMK Sultan Sulaiman, SMK Manir, SK Bukit Tumbuh, SBP Integrasi Batu Rakit, SMK Sultan Mizan Zainal Abidin, SMK Bukit Tunggal, SMK Bukit Besar dan SMK Padang Midin. Sepanjang bengkel tersebut dijalankan, para peserta begitu asyik dan bersemangat untuk mempelajari bagaimana teknik-teknik penghasilan cerita digital yang bermutu dapat diolah lantas menghasilkan cerita-cerita peribadi, pengalaman hidup dan sebagainya ke dalam bentuk cerita digital yang mempunyai unsur-unsur tauladan dan nasihat kepada masyarakat umum khususnya untuk generasi masa kini dan akan datang.
Setiap sesi dalam bengkel ini diisi dengan pengajaran secara teori dan amali (praktikal) bagi memastikan pemahaman para peserta terhadap konsep asas dan aspek teknikal dalam penceritaan digital dapat dikuasai dengan baik. Pada sesi pagi hari pertama para peserta mempelajari apakah elemen-elemen utama yang perlu ada dalam sesebuah cerita digital dan bagaimana untuk menghasilkan skrip yang baik. Satu tayangan penceritaan digital (video) yang pernah dihasilkan sebelum ini telah dipersembahkan kepada para peserta bengkel untuk dijadikan panduan. Di sebelah petangnya, mereka diajar mengenai penggunaan perisian dan teknik. Manakala pada hari kedua mereka dikehendaki menyediakan satu projek penceritaan digital bertemakan sekolah masing-masing dan membentangkan projek berkenaan kepada fasilitator dan semua peserta lain.
Di akhir program para peserta diberikan sijil penyertaan dan cenderahati yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Chek Derashid, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti ITU-UUM merangkap pengarah projek.
Bagi meneruskan siri jelajah Bengkel DST untuk Zon Selatan, pihak penganjur telah memilih Kolej Komuniti Pasir Gudang (KKPG), Johor sebagai destinasi bengkel siri ke 3 yang akan diadakan pada 15 – 16 Mei 2010 (Sabtu dan Ahad) yang akan datang.
Bengkel tersebut adalah merupakan program kerjasama antara ITU-UUM, MdeC dan KKPG dalam usaha memperbanyakkan lagi program-program berbentuk komuniti yang memberi manafaat kepada semua pihak, disamping menunaikan salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.