BENGKEL PENCERITAAN DIGITAL ZON UTARA
ITU-UUM ONLINE:
ITU-UUM dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) melalui Malaysian Animation Creative Content Centre (MaC3) menganjurkan Pertandingan Penceritaan Digital sebagai inisiatif untuk mencungkil bakat-bakat di kalangan para pelajar dan guru untuk menghasilkan penceritaan digital yang berkualiti dan mempunyai mesej yang berguna kepada masyarakat umum. Sebagai sebahagian daripada program pertandingan berkenaan, empat siri bengkel latihan akan diadakan di seluruh negara yang dilaksanakan mengikut zon iaitu zon utara, timur, selatan dan tengah.
Buat permulaan satu bengkel penceritaan digital bagi zon utara telah diadakan pada 23 hingga 24 April 2010 bertempat di Makmal Bestari, Bangunan Sains Kognitif dan Pendidikan. Seramai 42 orang peserta (12 guru dan 30 murid) dari beberapa sekolah di sekitar Daerah Kubang Pasu mengikuti bengkel ini. Sekolah-sekolah berkenaan ialah SMK Bandar Bukit Kayu Hitam, SMK Changlun, SMK Hosba, SMK Paya Kemunting, SMK Seri Mahawangsa, SMK Jitra, SMK Pulau Nyior, SMK Tanjung Pauh, SMK Bandar Baru Darul Aman dan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman. Sambutan yang diterima amatlah memberansangkan sehingga pihak penganjur terpaksa menolak beberapa permohonan daripada beberapa sekolah lain kerana bilangan tempat yang disediakan adalah terhad.
Bengkel ini dikendalikan oleh Encik Harryizman Harun, pensyarah bidang multimedia dari UUM CAS sebagai ketua fasilitator. Beliau turut dibantu oleh beberapa orang fasilitator lain iaitu Encik Salman Sha’ri, Encik Mazri Yaakob, Encik Khairul Munawwar, Puan Norhidayah Kaharudin dan Cik Nor Aswadiyana Ibrahim.
Para peserta didedahkan dengan elemen-elemen yang perlu ada dalam menghasilkan cerita digital dan teknik-teknik penghasilannya melalui penggunaan perisian komputer yang bersesuaian. Beberapa contoh cerita digital yang berkualiti telah dipertontonkan kepada para peserta bagi member gambaran sebenar apakah yang diberi penekanan di dalam menghasilkan cerita-cerita yang menarik dan berkesan.
Para peserta ternyata begitu teruja. Mereka juga ditugaskan untuk menyiapkan satu cerita digital bertemakan sekolah masing-masing dan berkongsi dengan rakan-rakan lain diakhir program. Mereka dibahagikan mengikut sekolah dengan diketuai oleh seorang guru dari sekolah yang sama. Ternyata kesemua peserta begitu bersemangat menyiapkan tugasan mereka sehingga sanggup melanjutkan masa kursus sehingga jam 6 petang.
Di akhir program para peserta diberikan sijil penghargaan kehadiran yang disampaikan oleh Prof Madya Dr. Chek Derashid, Pengerusi Pembangunan Perniagaan dan Komuniti, ITU-UUM.
0 comments:
Post a Comment