Special Projects

Wednesday, August 26, 2015

Kem ICT 3.0 Bantu Tingkat Kemahiran Guna Aplikasi Terkini



International Telecommunication Union-Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) Asia Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Development telah menganjurkan program Kem ICT 3.0 pada 21-22 Ogos 2015 lalu di Myangkasa Akademi & Resort Langkawi. Program ini adalah anjuran bersama dengan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Langkawi, Pusat Khidmat ADUN Kuah dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Program ini melibatkan seramai 50 orang pelajar Tingkatan 4 yang terdiri daripada lima (5) buah sekolah iaitu SMK Kedawang, SMK Mahsuri, SMK Ayer Hangat, SMK Kelibang dan SMK Tunku Putra.

Program yang berlangsung selama dua (2) hari ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penggunaan aplikasi perisian komputer kepada para pelajar yang terlibat. Selain itu, ia juga dapat membuka landasan pembelajaran dan penggunaan ICT kepada para pelajar agar mampu berfikir secara lebih kreatif, inovatif dan dapat mengaplikasikannya semasa proses pembelajaran.

En Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit, pensyarah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM telah berkongsi ilmu mengenai teknologi terkini dalam ICT sementara   Dr. Husniza binti Husni, pensyarah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM mengendalikan sesi latihan dalam mencipta interaktif e-Folio dengan cara mudah. Sesi Klik Dengan Bijak telah dikendalikan oleh empat (4) orang pengurus PI1M dari Langkawi, Napoh, Jerlun dan Gunung Hilir.

Perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh YB. Nor Saidi Nanyan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Langkawi. Beliau berkata perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dengan pelbagai penciptaan perisian telah membuka ruang maya yang cukup luas kepada pelajar dalam mencari ilmu. Selain mendorong minat dan menggalakkan  pembelajaran secara akses kendiri, teknologi maklumat ini wajar dimanfaatkan untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif.

"Saya berharap supaya program sebegini dapat diteruskan lagi dalam melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan di peringkat global" katanya.


YB. Nor Saidi Nanyan mengucapkan terima kasih kepada pihak ITU-UUM dan pihak PI1M Langkawi serta semua yang terlibat dalam program ini kerana telah berjaya menganjurkan program yang memberi manfaat dan pengalaman bermakna kepada para pelajar yang terpilih. Beliau juga mengharapkan lebih banyak penglibatan UUM melalui program sebegini dalam membantu meningkatkan pendidikan pelajar sekolah khususnya di Langkawi.

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget