Special Projects

Saturday, September 12, 2015

UUM dan NERA Infocom (M) Sdn Bhd Jalin Kerjasama Latih Pengurus dan Penolong Pengurus PI1M



UUM ONLINE: Kuala Lumpur, 11 September - Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kecemerlangan International Telecommunication Union (ITU-UUM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama NERA Infocom (M) Sdn. Bhd. (NERA) bagi melaksanakan program latihan untuk memperkasakan pengurus dan penolong pengurus Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kedah, Selangor dan Putrajaya.

NERA merupakan Penyelaras Projek bagi menyediakan infrastruktur dan program pembangunan staf bagi PI1M di bawah pengurusan pihak Maxis Berhad sementara ITU-UUM yang telah dikenali sebagai pusat kecemerlangan di Semenanjung Malaysia berpengalaman dalam menyediakan latihan dan penubuhan pusat komuniti ICT di Kedah dan Perlis serta banyak menjalankan program komuniti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui geran-geran yang diperolehinya.

UUM diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan disaksikan oleh Bendahari UUM, Amron Man manakala memeterai bagi pihak NERA ialah Pengarah Urusannya, Dato' Ahmad Fauzan Hashim dan disaksikan oleh Hairani Hamid, Pengurus Unit Perniagaan NI-SP.

Dato' Seri Naib Canselor berkata melalui pemeteraian MoA ini, UUM akan menyediakan latihan kepakaran kepada staf PI1M manakala NERA akan menyalurkan dana kewangan dalam melaksanakan program latihan berkenaan di empat belas (14) PI1M yang terletak di Kedah, Selangor dan Putrajaya selama dua (2) tahun bermula pada tahun 2015.

"Program latihan yang dicadangkan akan memberi tumpuan kepada skop ICT berasaskan kepada keperluan yang diberikan oleh NERA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"PI1M yang terlibat adalah Yan Kecil, Guar Cempedak, Langkawi, Pokok Sena, Jerlun, Gunung Hilir, Napoh, Kodiang di Kedah, Linggi dan Semenyih di Selangor dan Presint 9 Fasa 10, Presint 9 Fasa 3, Presint 16 dan Presint 18 di Putrajaya," ujarnya.

Tambah beliau lagi program kerjasama ini diharap dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar untuk sama-sama menikmati teknologi maklumat dengan perancangan program yang dibekalkan dan latihan dalam meningkatkan kelestarian kepada pengurusan PI1M di samping mengeratkan lagi hubungan UUM dengan pihak industri dan berharap lebih banyak lagi projek kerjasama dapat diusahakan dan dijalankan bersama di masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan NERA, Dato' Ahmad Fauzan Hashim berkata pihaknya amat berbesar hati atas kesudian UUM untuk bekerjasama dengan NERA dalam membantu melatih kepakaran staf PI1M.

"Diharap melalui kerjasama ini, kita dapat melahirkan PI1M yang berdaya saing dan mampan melalui program latihan pembangunan yang merangkumi aspek keusahawanan melalui ICT yang membawa kepada pembangunan sosio ekonomi kepada penduduk setempat," katanya.

Turut hadir Dr. Samry @ Mohd. Shamrie Sainin yang menjalankan tugas Pengarah ITU-UUM, Pengarah UUM KL, Dr. Ahmad Rizal Mazlan, pegawai-pegawai UUM dan barisan pengurusan NERA.

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget