Special Projects

Monday, November 16, 2015

Kerjasama Pintar ITU-UUM Dengan Persatuan I-TECH UUM

Kerjasama Pintar ITU-UUM Dengan Persatuan I-TECH UUM


Program Community Services Moving towards IT Revolution yang dianjurkan oleh Persatuan I-Tech UUM dengan kerjasama ITU-UUM Asia Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Development (ITU-UUM), Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Langkawi dan JKKK Kampung Padang Wahid, Langkawi telah berlangsung pada 6-7 November 2015 bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Wahid Langkawi. Program ini merupakan bengkel latihan ICT dan program khidmat masyarakat yang terbahagi kepada dua aktiviti yang berjalan serentak iaitu Bengkel Penggunaan Asas Aplikasi Microsoft dan aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan Kampung Padang Wahid, Langkawi.

Bengkel Penggunaan Asas Aplikasi Microsoft dijalankan di PI1M Langkawi dan dikendalikan oleh mahasiswa UUM dari Persatuan I-Tech UUM yang melibatkan peserta seramai 19 orang. Peserta yang terlibat terdiri daripada penduduk kampung yang berusia diantara 12 hingga 24 tahun. Bengkel itu telah berjaya menarik minat dan meningkatkan minat peserta dalam mengasah kreativiti dan pengetahuan melalui penggunaan teknologi aplikasi komputer melalui perisian Microsoft Word, Microsoft Excel dan Microsoft PowerPoint.

Manakala aktiviti gotong-royong yang melibatkan mahasiswa UUM bersama penduduk kampung membersihkan kawasan dalam dan luar surau, dewan orang ramai dan kawasan sekitar kampung. Selain itu, mahasiswa UUM juga telah melawat beberapa buah rumah dan memberi sedikit sumbangan kepada penduduk kampung yang kurang bernasib baik.

Perasmian pembukaan program ini telah disempurnakan oleh Encik Mohd Hidayat Hamid, Tuan Penghulu Mukim Kedawang Langkawi. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak UUM kerana memilih anak-anak di kawasan berkenaan bagi menganjurkan bengkel dan program gotong-royong tersebut. Menurutnya, program seumpama ini dilihat memberi pendedahan mengenai kepentingan penggunaan teknologi dalam kehidupan serta memberi peluang kepada mahasiswa universiti mengaplikasikan teknologi dan pengetahuan berkenaan ICT kepada penduduk dan komuniti setempat.

En Mohd Hidayat juga berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan lagi dalam mengeratkan hubungan di antara penduduk kampung dan pihak universiti.
Program ini juga turut dihadiri oleh Encik Shariman bin Saad, Pengerusi JKKK Kampung Padang Wahid Langkawi, Puan Nadzirah Mahmud selaku wakil dari ITU-UUM serta penduduk kampung yang berdekatan.


Diharap program kerjasama pintar ITU-UUM ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment

RSS

Bookmark and Share
 |  Cetak!
Related Posts with Thumbnails

Widget